Tuesday 28 December 2010

7 Istilah Fotografi

Ini ada satu lagi artikel yang menarik untuk anda:


7 Istilah Yang Anda Perlu Tahu Dalam Fotografi Perkahwinan

Seperti yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.

1) 'Photographer' atau 'cameraman'
Sebenarnya, perkataan 'photographer' dan 'cameraman' merujuk kepada
dua kerjaya yang berbeza. 'Photographer' atau jurugambar adalah
orang yang merakam gambar foto. Manakala 'cameraman' atau
jurukamera adalah orang yang merakam gambar video. Jadi, gunakan
istilah yang betul agar tidak timbul kekeliruan dalam komunikasi
anda.

2) Fotografi digital & analog
Fotografi digital menggunakan kaedah merakam gambar foto tanpa
menggunakan filem. Fotografi analog pula memerlukan filem sebagai
alat untuk merakam gambar. Penggunaan kamera digital amat meluas
pada masa kini kerana ianya amat memudahkan kerja jurugambar,
sekaligus membantu jurugambar merakam gambar dengan lebih baik.
Sekiranya gambar anda dirakam dengan kamera analog, anda perlukan
negatif untuk membuat cetakan gambar. Namun, jika kamera digital
digunakan, anda perlukan fail jpeg atau lain-lain fail imej untuk
membolehkan gambar itu dicetak. Fail gambar ini biasanya disimpan
di dalam CD. Gambar dari kamera digital hanya boleh dicetak di
kedai gambar digital.

3) 'Photojournalistic style' & gaya fotografi tradisional
Rakaman gambar perkahwinan dengan pendekatan 'photojournalist'
semakin diminati ketika ini. Gaya fotografi ini memperlihatkan
banyak rakaman gambar kandid dengan aksi bersahaja. Setiap perkara
akan dirakamkan seperti mana ianya berlaku tanpa arahan dari
jurugambar. Antara teknik yang digunakan adalah penggunaan cahaya
semulajadi yang membuatkan sesuatu gambar itu lebih realistik. Gaya
fotografi tradisional pula adalah pendekatan rakaman gambar yang
lebih tertumpu kepada rakaman potret pasangan pengantin dan perkara
lain yang berkaitan secara terus denga sesuatu majlis perkahwinan.
Namun, selain dari gaya yang disebutkan, terdapat banyak lagi
pecahan gaya lain dalam rakaman gambar perkahwinan.

4) Album 'sticky', poket dan eksklusif
Album 'sticky' adalah album dimana kita boleh melekatkan gambar di
atas mukasuratnya dan kemudian gambar tersebut akan dilitupi oleh
helaian plastik nipis. Album poket atau 'slip-in' pula adalah album
yang sudah siap mempunyai ruang berpoket untuk kita menyisip gambar
ke dalamnya. Kini, dengan perkembangan teknologi fotografi digital,
sejenis lagi album gambar telah diperkenalkan. Album gambar ini
mampu mempersembahkan gambar foto dengan cara yang sangat menarik.
Album gambar ini dikenali dengan beberapa nama seperti 'exclusive
album', 'digital album', 'special album', 'storyboard album' dan
sebagainya. Secara umumnya, album ini bersaiz
8 X 10 inci atau lebih besar. Gambar-gambar di dalamnya akan
disusun atur dengan saiz dan kesan khas yang pelbagai.

5) Saiz gambar
Terdapat berbagai saiz gambar yang biasa digunakan. Gambar 3R bersaiz
3 X 5 inci adalah satu saiz yang popular satu masa dulu, kini
digantikan dengan saiz 4R iaitu 4 X 6 inci. Gambar saiz ini
biasanya sesuai dimuatkan ke dalam album. Untuk saiz yang lebih
besar yang sesuai dipaparkan dalam bingkai untuk hiasan meja adalah
5R ( 5 X 7 inci ) dan 8R ( 8 X 10 inci ). Gambar yang lebih besar
dan sesuai untuk bingkai hiasan dinding adalah saiz 11R ( 11 X 14
inci ) atau 16R ( 16 X 20 inci ). Anda juga boleh cuba membesarkan
gambar dengan saiz 'panoramic' atau 'square' untuk mendapatkan
kelainan pada paparan gambar anda. Satu perkara penting yang harus
diingat sebelum membesarkan gambar ialah, anda perlu pastikan yang
gambar tersebut benar-benar tajam dan beresolusi tinggi. Jika
tidak, gambar tersebut akan kelihatan kabur setelah dibesarkan.

6) Pembantu jurugambar
Ada jurugambar yang menggunakan pembantu jurugambar apabila
melakukan tugasan merakam gambar perkahwinan. Pembantu jurugambar
penting untuk membolehkan jurugambar bekerja dengan lebih efisyen.
Jurugambar akan memberi sepenuh tumpuan kepada aspek artistik
sesuatu subjek, manakala pembantu jurugambar akan membantu dari
aspek teknikal. Namun, cara kerja ini melibatkan kos tambahan pada
harga perkhidmatan fotografi yang diberikan.

7) Gambar hitam putih dan sepia
Gambar hitam putih dan sepia ( warna coklat ) kini semakin
diminati. Ianya memberikan sentuhan klasik atau nostalgia pada
sesebuah gambar. Namun, kebanyakan gambar hitam putih atau sepia
ketika ini tidak melalui proses yang tulen sebagaimana gambar hitam
putih yang sebenarnya. Ini kerana, kos untuk menghasilkan gambar
hitam putih yang tulen adalah lebih tinggi dari kos untuk
menghasilkan gambar warna. Gambar hitam putih yang asli dihasilkan
dengan merakam gambar menggunakan filem hitam putih dan dicetak di
atas kertas hitam putih juga. Tona gambarnya lebih baik dan ianya
tahan lebih lama. Kebanyakan gambar hitam putih sekarang ini
dihasilkan dengan merakam gambar dengan kamera digital. Kemudian,
gambar tersebut diubahsuai menjadi hitam putih di dalam komputer
dan seterusnya dicetak seperti biasa.

Harap artikel ini memberi manfaat kepada anda.
Untuk maklumat lanjut mengenai fotografi perkahwinan, sila layari http://www.adan.biz

Tuesday 23 November 2010

Salam semua....post kali ni saya just nak share dengan anda semua picture2 yang diambil pada satu Seminar Usahawan Muda Malaysia Anjuran MYFREN 2010 yang diadakan di Time Square pada 26 & 27 Oktober 2010 baru-baru ini...Tetapi Picture2 ini hanya diambil pada hari kedua seminar iaitu pada 27 Oktober 2010.